Tuesday, November 1, 2011

falsafah korban


Falsafah korban - Cinta Allah Mengatasi Cinta Makhluk


oleh :cahayamukmin


Bulan Zulhijjah ialah antara bulan Islam yang banyak
 merakamkan beberapa peristiwa besar dalam
 sejarah Islam. Peristiwa terpenting yang berlaku,
 di antaranya seperti ibadah haji dan peristiwa 
pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya demi
 ketaatan baginda kepada perintah Allah s.w.t.
 Rentetan daripada peristiwa itu, amalan ibadah
 korban telah menjadi sebahagian daripada syariat
 Allah s.w.t. yang dituntut terhadap umat Islam 
untuk melaksanakannya. Nabi s.a.w. menjelaskan
 lagi syariat tersebut dalam sebuah
 hadis yang bermaksud: 
Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: Suatu hari
 sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya,
 "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?'' Jawab Rasulullah: "Ia adalah 
sunah bapa kamu, Ibrahim.'' Mereka berkata: "Apa yang akan kami peroleh daripadanya
 wahai Rasulullah?'' Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.
'' Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?'' Rasulullah s.a.w. 
menjawab: "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.'' (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan
 Tirmizi) 

Untuk sama-sama kita memahami falsafah pengorbanan besar di sebalik kisah Nabi 
Ibrahim dan anaknya Ismail itu, Allah s.w.t. merakamkannya di dalam al-Quran ayat
 99-112 surah as-Shaffat yang bermaksud: Dan Ibrahim berkata: "Sesungguhnya aku
 pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku..... Dan
 Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak, seorang nabi yang termasuk 
orang-orang yang soleh. 

Di sebalik kisah yang dirakamkan itu, terdapat dua dimensi pengorbanan yang boleh 
dijadikan iktibar untuk renungan kita bersama. Pertama, pengorbanan seorang ayah 
yang begitu lama menantikan seorang anak, kemudian apabila sudah memilikinya
 terpaksa pula mengorbankan perasaan cinta dan kasih tersebut, demi kepatuhan dan
 keredhaannya terhadap perintah Allah Taala. Kedua, ketaatan dan keyakinan penuh
 Nabi Ismail terhadap pengorbanan yang dituntut oleh ayahnya untuk dilakukan. 
Sebagai seorang anak, baginda sanggup pula mengorbankan kasihnya kepada ibu dan
 ayahnya dan zaman keseronokan remajanya, malah ke tahap sanggup mengorbankan
 nyawanya sendiri, semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah s.w.t.
 dan perintah seorang ayah. Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada
 hubungan cinta sejati mereka kepada Allah s.w.t. yang tidak berbelah bahagi. 

Dalam kes di atas, logik naluri kita akan bertanya, mengapa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 
sanggup mengorbankan cinta dan kasih sayang mereka demi perintah Allah Taala?
 Bukankah Nabi Ibrahim sudah lama mengidamkan seorang anak? Mengapa setelah
 dikurniakan anak, diperintahkan pula supaya menyembelihnya? Dalam keadaan itu,
 tentu baginda berdua boleh berdalih dengan pelbagai alasan. Tetapi mereka tidak 
berbuat begitu, kerana cinta mereka kepada Allah s.w.t. mengatasi cinta kepada
 makhluk. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita dapat memahami falsafah 
korban seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu? Bolehkah tahap
 pengorbanan umat Islam hari ini setinggi itu? Sanggupkah seorang Muslim itu 
menerima takdir dengan pasrah seperti kematian atau kehilangan orang yang
 disayanginya? Atau adakah kita lebih banyak mempertikaikan takdir yang telah
 Allah Taala aturkan? Mungkinkah ada lagi pada zaman serba canggih ini, remaja
 sehebat Nabi Ismail yang sanggup berkorban nyawa, kasih dan keseronokan zaman
 remajanya demi ketaatan dan kecintaan kepada Allah Taala? 

Sesungguhnya seandainya seorang Muslim itu apabila mereka mendahulukan cinta 
Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana
 yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud: Ada tujuh 
golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada
 perlindungan melainkan perlindungan Allah s.w.t. iaitu imam yang adil, pemuda yang
 mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut
 dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan
 berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki
 kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: "Sesungguhnya aku
 takutkan Allah'', lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui 
apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah 
menyebut nama Allah ketika bersendirian. (Riwayat Muslim) 

Sehubungan itu, Islam menjelaskan bahawa cinta seseorang hamba kepada Allah
 s.w.t. itu haruslah berlandaskan kepada ittiba' (ikutan) dan ketaatan sebagai bukti
 kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. seperti mana yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim
 dan Nabi Ismail dalam cerita tersebut. 

Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud:
 Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka
 ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa 
kamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Ali Imran:31) 

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah Taala merupakan sumber cinta yang paling
 tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah Taala dengan cinta
 makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka untuk Tuhannya
 tanpa ragu-ragu. Baginda mengetahui bahawa meletakkan cinta Allah pada tempatnya
 adalah satu kedudukan cinta yang tinggi yang hanya akan lahir bagi orang yang sudah
 cukup kenal akan Allah Taala. Menurut Imam al-Ghazali bahawa ma'rifah 
(ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta sebab, cinta tanpa ma'rifah tidak
 mungkin berlaku. Ini kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya
 sahaja. Pepatah Melayu ada menyebut, 'Tak kenal maka tak cinta'. Ia seolah-olah
 membenarkan pendapat Imam Ghazali tersebut. 

Dalam kisah tersebut, demi membuktikan cinta mereka adalah benar, lalu Allah s.w.t. 
menguji mereka dengan bentuk ujian yang sukar diterima oleh akal manusia biasa. 
Oleh itu, benarlah bahawa cinta yang tulus ikhlas itu memerlukan pengorbanan yang
 mesti ditempuh melalui sesuatu ujian dan dugaan terlebih dahulu. Apakah bukti cinta
 mereka? Tidak lain dan tidak bukan mereka telah mengorbankan cinta mereka yang
 sementara kepada cinta yang kekal abadi. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menguji
 orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah s.w.t. 
mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui
 orang yang dusta. (Al-Ankabut: 3) 

Oleh itu, Muslim yang benar-benar kenal akan Allah Taala sanggup menggadaikan 
harta dan wang ringgit. Mereka juga sanggup mengorbankan kasih mereka terhadap
 anak-anak dan keluarga sendiri, malah nyawa sekalipun semata-mata kerana
 mendahului cinta Allah s.w.t. Apabila cinta Allah Taala sudah memenuhi hatinya, 
maka barulah datang cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan makhluk-makhluk-Nya 
yang lain. Itulah kedudukan cinta yang betul yang menerbitkan kemanisan iman 
yang tiada taranya. Malangnya umat Islam hari ini tidak memahami konsep
 'al-Aulawiyat' ini. Mereka dengan mudah terjerumus dengan cinta makhluk-Nya
 sehingga sanggup dikongkong oleh nafsu tamak, rakus, bakhil dan mengutamakan
 keuntungan dunia tanpa had dosa atau pahala. Akhirnya kebinasaan dan kerugian
 yang terpaksa diratapi dan disesali apabila jasad mereka menjadi bahan makanan
 kepada cacing dan ulat di dalam tanah. 

Di dalam al-Quran Allah s.w.t. memberi amaran kepada manusia melalui
 firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa
-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta
 kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang 
kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah
 lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad 
di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya 
dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq. 
(At-Taubah: 24) 

Hal ini kerana cinta yang hakiki bukan diukur berdasarkan pandangan mata makhluk 
atau kerana tuntutan hawa nafsu semata, tetapi lebih mengikut pandangan Allah
 Taala yang dialirkan ke dalam hati setiap makhluk-Nya. Malah semua anugerah 
Allah Taala kepada manusia seperti nikmat kebaikan, kemewahan, hidup dan 
mati semuanya adalah rahmat dan kasihan belas-Nya pada kita yang kadang-
kadang gagal difahami falsafah sebenar di sebalik pemberian tersebut. Dalam
 sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita melalui sabdanya yang
 bermaksud: Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia 
akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan dan 
mengerumuni talam hidangan mereka.'' Maka salah seorang sahabat bertanya 
"Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?'' Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu
 pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan 
Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh
 kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 
wahan.'' Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?'' 
Nabi s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati. (Riwayat Abu Daud) 

Justeru itu Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban dengan kemas
 dan sempurna supaya kita memahami pengajaran di sebalik peristiwa agung tersebut.
 Falsafah daripada pensyariatan ibadat ini nanti akan mengekalkan ingatan kita kepada 
lambang cinta agung Nabi Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail demi 
cinta dan taqarrub mereka kepada Allah s.w.t. 

Firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
 kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya
 Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan 
orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka
 menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka
 beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.
 (Al-Baqarah : 186) 




 a paste blog from:
 cahayamukmin.blogspot.com