Balada Petani Tua
Barjo tubuh sederhana
mata bulat kepala berkulat
kulit kematu -
di bawah mentari bulan satu
suatu harapan bumi tiada retak
Markonah isteri setia
mata cangkung tiga belas anak mengepung
berlindung di bawah kepak petani
tanah sekepal rumah sebuah pusaka mati
Justeru Tumin putera tua
sisa pertarungan manusia
menegakkan pepanji bangsa
telah cedera kaki tiada ertinya
Sedang Tuban putera kedua
gonjol - gilakan janda kaya
sehari kerja sehari melawa
usia kian memanjat senja
dunia tanpa difikir diri berkecamuk jua
Dan Gareng anak ketiga
tiga kali kahwin bercerai jua
betapa harta tiada berbudi sementara
ditambah bini-bini yang culas,curang dan meradang
tidak mengenal batas bertandang dan kecundang
Si Gawok puteri keempat
kematian suami anak empat
tutup lubang gali lubang
penebus kehidupan segala termengkalan
Sentot belia nganggur
putera kelima tamat sekolah atap
sijil berlipat menyogok harap
tukang sapu tukang angkat
Saring ada SRP pangkat C
putera keenam paling tabah
tiada pernah meminta-minta
surau dan gubuk istana perlindungan
hasrat ingin merakam seluruh kehidupan:
( keluarga kami petani tradisi
mahu mendaki ingin menguji
bangsa manusia tiada serupa )
Jemblong putera ketujuh paling gelojoh
ringan tulang kenyang berdagang
pengasih dan penyanyang -
ya, kesayangan ayahda bonda sekeluarga
malang bersekolah tiada
Gambreng dan Mumberuh kembar kemerdekaan
sekolahnya sekerat jalan
dangkal dan tawakal
mewarisi dan kekal
Seriwut putera paling pintar
sabar dan berlapar
ayahbonda telah berkerat-kelar
cita-cita dan debar
anaku ; Pemimpin besar
Bolot putera bungkus
satu kepercayaan amat kudus
berani, kebal macam Mat Kilau
pada dengan kalimah lebai bagai rasul
jauh dari fatwa yang unggul
dan lari dari pedih perit
bulan dan mentari sakit
kesal dan menyesak menggigit
Tomblok puteri ayu
timangan ibu segera bermenantu
pemuda kaya paling tiada tukang kayu
sedang tubuh berkudis buta
sekolah darjah dua
betapa saudara kandung hidup derita
Dan Jombot puteri bungsu
- tiga belas hatinya kelabu
tanpa pesta dunia maju
segala layu dan kaku
Sepasang petani tua
- bumi dan manusia
bersyukur atas segala pemberian
bertawakal dalam perjuangan
rezeki secupak bukan segantang jadinya
Dan hiduplah petani perjuangan
tidak mengukur baju dibadan orang
tetapi memacu tega belas jiwa
bagai buldoza raksaksa
sekali-sekala lumpuh kemahuannya
( S. Panit : Berita Minggu )
Parti
Aku yang bukan aku lagi di majlis ini
yang menilai erti tamadun dengan sinis sekali
yang menyerikan malam dengan nion warna-warni
dengan ganja dan malboro serta gadis lincah
yang manis yang manja yang menggila
yang sweet seventeen yang bermini yang membayang
dengan fesyen yang paling latest dipamerkan
yang ketat yang padat yang harum bau topaz
yang melondeh yang terkeweh di tengah gelanggang
Aku bukan aku lagi di situasi yang gentleman ini
yang harus sporting yang harus kontemporary
yang harus melonggarkan sopan-santun dan berbudi-budi
jika para peria dan gadis manisku yang di sini
yang ada siangnya memakai uniform seragam putih dan hijau
yang pada siangnya membimbit buku dan jalan atas batu
di malam ini ia ketawa dan ia rela disentuh raba
di malam ini ia girang ia tidak keseorangan
di sudut-sudut kelam dalam rangkulan peria berambut panjang
Aku yang bukan akau lagi dalam keadaan yang normal ini
yang harus menyangkutkan tatamoralis di gelas anggur
yang harus bermuka-muka sekali pun dengan egoku
jika tamu dan jagonya dari elite yang ideal sekali
yang senyum lebar ala hippies di atas pentas
berbicara lagak Tom Jones garau suaranya
dengan gadis manis beralis lentik Max Factor
menari menyanyikan lagu Love is Blue
penuh emosional dan menggetar kalbu
malam yang ganas yang lunak yang menghairahkan
tika kugiran kian rancak dengan caca dan twist
kini tiada yang abnormal dan mengantuk layu
segalanya segar bugar segalanya meloncat bersama pasangan
yang minum yang menanti yang terus menari
yang mesra yang membisik-bisik ke telinga
bertukar gelas bertukar tangan bertukar rangkulan
Aku yang kembali normal di malam itu
terasa jauh datarnya nilai reality ini
sekeping hati telah cacat cedera
dalam kehangatan itu ku hirup sebuah keruntuhan
gadis periaku yang hanyut di tengah jalan.
( Ahmad Sarju :Mastika )
GUNTOR SADALI:
Hati Siapa Tak Terharu
Siapa yang merasakan miliknya tergugat
adalah rasa kesedaranmu penuh tanggungjawab
betapa terharu hatiku hatimu yang mencintai bumi ini
satu demi satu mereka lepaskan ke tangan orang lain
yang mereka kira itu suatu paksaan kerana
yang tak pernah mereka tangisi untuk hutang esok hari
bahawa haknya kini telah hilang kini
walaupun di tanahair sendiri.
Alangkah berhati mulia engkau para pembela
kerana engkau lebih dahulu melihat peristiwa itu
yang perlu diselamatkan dari kehancurannya
bilamana kita ditagih oleh anak-anak kita
- bumi inikah tanahair kita?
bilamana mereka akan terpesona dengan kegagahannya
dan betapa hancur kita tika mengakuinya
sedang model kebesaran ini milik siapa?
Hati siapa yang tak terharu mengenangkannya
patahnya percintaan tidak sederhana penanggungan ini
sekali pun segenggam pasir tiada harga
tetapi kerana ia pertaruhan maruah dan nyawa
maka perginya menjadi kehinaan seluruh bangsa
seperti kita tiada tenaga untuk melindunginya.
Aduh betapa berdarahnya hati yang sedia tersayat
menimbal-balik cerita lara para buruh, petani dan pelaut
kini ladang itu sawah itu telah lama hanyut
dibawa arus kepunyaan asing bumi kian surut
maka mereka pun melepaskan tak terdaya menebus kembali
kerana difikirkan hidup matinya untuk mereka sendiri
bahawa rumah yang didirikan dengan gagah tersergam
di atas tanah yang bukan miliknya lagi.
Betapa kudus hatimu
yang bisa melihat hari depan bangsamu
dan kini engkau menjadi penyelamat
kepada setiap inci tanah dan setiap bumimu
dan melindunginya dari sebarang kemungkaran
semoga bumi ini tidak pecah berserpihan
Aduh, pengertian ini melerai cerita semalam
melihat ladang melihat sawah hijau terbentang
berbelah bagi hati sendiri untuk menganalisakan
setelah seorang pengembara senyum-senyum menawarkan
suatu kebanggaan demi kegagahan bumi ini
sedang hati kita terus pedih dan terus kita lindungi
dengan suatu anggukan.
Kini ada suara dari hati yang tersembunyi
yang lebih lama menangisi cerita pedih ini
kemudian didirikan satu keyakinan
di seluruh hati bangsanya sambil bersuara lembut
selamatkanlah kerana perahu belum jauh hanyut.
( Dewan Masyarakat )