Friday, April 20, 2012

piramid - melalui : fikir, mata, telinga dan lidahku


Melalui : Fikir, Mata, Telinga dan lidahku

melalui kalbuku nan terbuka
fikirku adalah bintang-bintang yang mengerdip
segala cita-cita dan harapan
yang biasa membentuk dan membangun
kerukunan suatu umat
keperibadian suatu bangsa.

mataku adalah arasy nan luas
di perjalanan kutub dan ufuk
atas segala sifat
dan warna-warni yang berjisim sesungguh zat-zat dan makrifat.

telingaku adalah pitarakaman
di desir angin dan deru ombak
menyelinap dan meresap
ruang-ruang yang terbuka
sebenarnya sesuatu hakikat
yang wujud dan fana
yang mujarad dan nyata.

lidahku api dan angin
membakar dan meruntuh
istana dan mahligai
yang bertahta di mata
dan beraja di hati.

Illahi : Rabbi
jiwaragaku untukmu.

nukilan : Marhan
macang
terbitan Dewan Sastera, Julai 1972





No comments: